Bahasa Lisan

 

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

 

kerana pulut , santan binasa

kerana mulut , badan binasa

 

Pantun melayu yang sudah lama kita pelajari. Namun adakah ianya hanya sebuah pantun? Ianya bukan sekadar pantun yang bersiul-sul di bibir kanak-kanak sekolah rendah, tetapi nasihat yang disemai semenjak kecil lagi agar ia terkesan ke atas pendengarnya.

 

Lisan atau lidah - anggota terpenting dan salah satu nikmat ALLAH yang wajib disyukuri. Dengan lidah, manusia dapat bertutur dan berhubung sesama manusia, memberi arahan pada haiwan dan menzahirkan sesuatu dalam bentuk perkataan pada Yang Esa. Namun kadangkala manusia terlupa untuk bersyukur. Malah dosa manusia banyak berpunca daripada keterlanjuran mulut yang tidak dikawal.

 

Rasulullah bersabda yang bermaksud,

"Aku memberi jaminan sebuah rumah dalam kebun Syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan, meskipun dia benar. Aku juga memberi jaminan sebuah rumah di tengah Syurga bagi orang yang tidak berbohong walaupun sekadar bergurau. Aku juga memberi jaminan sebuah rumah di tempat paling tinggi di dalam Syurga bagi orang mempunyai budi pekerti baik." (Riwayat Abu Daud)

 

Percakapan juga seperti perbuatan melambangkan tahap keimanan seseorang. Kerana besarnya bencana berpunca daripada lidah, Rasulullah menganjurkan sesiapa yang tidak mampu mengawalnya daripada berkata-kata tidak baik, lebih baik dia mendiamkan diri. Ikutlah resam ubi. Diam-diam ubi berisi.

 

Baginda bersabda yang bermaksud,

"Sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari kemudian, maka bercakaplah perkara yang baik atau mendiamkan diri." (Riwayat Muslim dan Bukhari)

 

Berdiam diri adalah cara paling mudah menyelamatkan diri daripada fitnah, mengumpat dan meluahkan perkataan yang tidak perlu seperti peringatan Rasulullah yang diriwayatkan Ahmad,

"Sesiapa yang diam, dia akan selamat."

Beruntunglah sesiapa yang mampu menjaga lidahnya sehingga menjadi lambang ketulusan budi dan pekertinya. Sesiapa yang sentiasa berkata benar dan disenangi orang lain, hidupnya dalam kesejahteraan dan kedamaian.

 

 

 

Wasalam..

 

~ aman shah ~

"...man jadda wa jada..."

0 teguran dan kutukan: