Assalamualaikum.
Cerita yang hendak dikarang minggu ini, hanyalah berkaitan cinta dan perkahwinan sahaja. Boleh? Hehe.
Kenapa aman hendak sangat bentangkan cerita-cerita sebegini?
Sebab minggu depan hari Valentine?
Sebab aman hendak kahwin dah ke?
Mesti sekurang-kurangnya, terlepas juga persoalan sebegitu. Aman tulis berkaitan cinta dan perkahwinan sebab
1. Minggu depan hari valentine. So secara tidak langsung menyedarkan masyarakat kita agar tidak menyambut budaya asing ini.
2. Sejak dua menjak ini, terlalu banyak undangan perkahwinan yang aman terima. Maybe sebab cuti bulan 3 ini sudah hampir, so masing-masing dalam proses menyebarkan kad-kad jemputan majlis raja sehari itu.
3. Mak aman sudah persoalkan!
Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat membantu rakan-rakan di luar sana. Enjoy it!
Akhlak yang mulia sifat wanita solehah
Setiap lelaki akan mencuba sedaya mungkin mencari wanita idaman yang sesuai untuk dijadikan calon isteri. Dalam usaha itu, ada lelaki keliru dengan ciri wanita idaman yang sepatutnya mereka miliki serta dianggap bersesuaian dalam pandangan Islam.
Kepada wanita atau si dara pula, mereka sering bercita-cita untuk memikat lelaki idaman. Mereka menanam cita-cita untuk mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihan berpandukan kepada keinginan hati masing-masing.
Mereka selalunya meletakkan kecantikan dan kebolehan berhias pada tempat tertinggi, hingga kadang-kadang tanpa cuba mengerti hasrat dan kehendak lelaki.
Dalam soal mencari pasangan hidup ini ada pendapat mengatakan, bagi kaum lelaki, mereka berasa adalah lebih senang mencari kekasih daripada mencari isteri. Ini kerana pada lelaki mencari isteri dianggap bukan suatu perkara mudah.
Kedudukan isteri pada pandangan seorang lelaki begitu istimewa sekali berbanding membeli kereta, bahkan rumah sekalipun. Justeru, mereka cukup teliti ketika membuat pemilihan. Mereka akan mengkaji daripada banyak sudut sebelum membuat keputusan kerana sebarang kesilapan boleh merosakkan masa depan.
Perlu diakui, sikap berhati-hati dalam soal memilih calon isteri ini turut membabitkan lelaki yang kurang baik akhlaknya. Ini kerana lelaki yang jahat perangai dan akhlaknya tetap berhasrat untuk mencari isteri yang mempunyai ciri budi pekerti baik. Inilah pendirian asas lelaki yang sering mengelirukan sebahagian wanita.
Wanita selalunya beranggapan bahawa kecantikan dan layanan mereka terhadap lelaki cukup memberi gambaran baik terhadap lelaki untuk memilih mereka sebagai calon isteri. Mereka menyangka, lelaki akan mudah tertarik dan bersedia pula mengambil mereka sebagai isteri sekiranya mempunyai ciri itu.
Pada dasarnya sifat manusia akan turut berubah mengikut perkembangan masa dan suasana. Ia juga berkembang seiring pemikiran dan kemajuan. Justeru, bersesuaian perkembangan dan perubahan ini, kita tidak boleh melihat wanita idaman dari satu segi saja.
Kita perlu memerhatikan dari banyak segi yang menepati kategori wanita idaman dalam pandangan Islam.
Bagi orang Islam adalah wajar mereka menjadikan apa yang dinasihatkan oleh Rasulullah SAW sebagai panduan memilih calon isteri. Ini kerana apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW pasti menepati dengan kehendak Islam dan syariat.
Sabda Rasulullah SAW ketika ditanya oleh sahabat mengenai ciri wanita idaman "Yang menyenangkannya ketika dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh. wanita yang tidak mengkhianatinya (tiada curang). Dan, wanita yang tidak mengkhianati hartanya pada perkara yang dibenci " (Riwayat Abu Daud dan Nasaii)
Dalam hadis lain Rasulullah saw bersabda: "Sebaik-baik wanita ialah sesiapa yang dapat menggembirakanmu apabila dilihat. Mentaatimu, apabila disuruh. Menjaga dirinya dan hartamu apabila kamu tiada." (Riwayat A-Tabrani)
Banyak sekali riwayat yang memperkatakan mengenai saranan Rasulullah saw dalam hal yang berkaitan dengan memilih calon isteri.
Pandangan yang disarankan menghendaki seseorang itu tidak boleh melihat wanita dari satu arah, malah perlu meneliti dari semua segi.
Sifat yang perlu diberi keutamaan mencakupi raut wajah yang menyenangkan, akhlak yang baik terhadap suami, amanah dan setia.
Raut wajah yang menyenangkan meliputi dari semua segi. Ia termasuk kecantikan, senyuman dan tutur kata ketika berbicara.
Faktor ini kerap dititikberatkan oleh kebanyakan lelaki dalam soal memilih pasangan hidup.
Sikap sedemikian sebenarnya bersesuaian dengan sifat semula jadi manusia yang menyukai kecantikan dan keindahan. Kecantikan dan elok paras rupa boleh menarik minat dan perhatian seseorang. Islam juga tidak menafikan pentingnya faktor ini.
Akhlak yang baik terhadap suami, tidak kurang pentingnya dalam menjamin kerukunan rumah tangga.
Isteri yang baik mentaati perintah dan suruhan suami selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sikap isteri yang sentiasa mentaati suami akan menambahkan ikatan kasih sayang serta dapat memberi contoh baik terhadap anak-anak.
Pada pandangan Islam, isteri amanah dan setia bolehlah disifatkan sebagai isteri baik dan solehah. Mereka dapat menjaga kehormatan diri dan harta suami sekalipun ketika ketiadaan suami di rumah.
Sifat amanah dan setia begitu penting sekali. Tanpa sikap dan sifat seperti ini, rumah tangga tidak mungkin akan menemui kebahagiaan. Malah mungkin pula menjadi bertambahnya bilangan isteri yang curang terhadap suami.
Ciri di atas adalah sebahagian sifat yang perlu diambil kira oleh seseorang lelaki ketika memilih calon isteri.
Ia amat berguna untuk dijadikan panduan kepada sesiapa yang berhasrat untuk memperolehi kebaikan dan keberkatan dalam rumah tangga yang akan dibinanya.
Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: "Nikahilah wanita dalam empat kategori: Hartanya, keturunannya, kecantikannya, agamanya. Pilihlah wanita yang mempunyai agama kerana dia akan menjagamu." (Riwayat Shaihan).
Hadis ini menggalakkan seseorang memilih isteri daripada wanita yang mempunyai agama iaitu beragama Islam dan mengamalkannya.
Perkahwinan yang berdasarkan kepada kecantikan semata-mata tidak digalakkan Islam. Seseorang itu perlu mengambil kira semua faktor sebagaimana maksud hadis di atas.
Patut juga diambil perhatian, wanita cantik tidak semestinya mempunyai akhlak baik dan boleh dibanggakan. Lelaki perlu menolak pandangan yang mendorong ke arah memberi keutamaan terhadap kecantikan semata-mata, sekalipun kecantikan dan keelokan rupa paras itu sesuatu yang perlu.
Isteri cantik tetapi tidak mempunyai akhlak Islam, akhirnya akan mendatangkan musibah kepada suami.
Perasaan suami akan sentiasa terdedah dengan rasa resah gelisah ketika meninggalkan isteri sendirian di rumah kerana keluar mencari nafkah, apalagi kalau terpaksa bermalam di luar. Begitu pula jika isteri keluar bekerja di tempat berlainan dengan tempat suami bekerja, sementelah pula apabila isteri terpaksa bermalam di luar.
Pada ketika tertentu, suami pula terpaksa banyak menahan sabar dengan tindak- tanduk isteri yang kurang baik demi untuk mengekalkan perkahwinan.
Keadaan seperti ini lama kelamaan boleh memudaratkan kehidupannya dan pada waktu sama seolah-olah memberi 'muka' kepada isteri di tempat yang tidak sepatutnya.
Dikhabarkan seorang lelaki pernah berjumpa Rasulullah SAW untuk mengadu hal:
"Wahai Rasulullah saw! Aku ada seorang isteri yang tidak ingin tangan kami bersentuh-sentuhan. Rasulullah saw menjawab: Ceraikannya! Lelaki itu menjawab pula: Aku terlalu mencintainya. Baginda saw bersabda: Peganglah dia!" (Riwayat Abu Daud dan Nasaii).
Kecantikan seseorang wanita tanpa disertai dengan akhlak baik, tidak akan menepati ciri wanita solehah. Hasil perkahwinan yang dilangsungkan atas dasar kecantikan paras rupa semata-mata, berkemungkinan tidak mendatangkan kebahagiaan dan kegembiraan.
Dalam pengertian Islam, kecantikan tidak bermaksud hanya keelokan paras rupa, tetapi meliputi semua perkara. Kecantikan juga termasuk dalam soal akhlak, budi pekerti, kasih sayang dan persefahaman.
Inilah yang dimengertikan sebagai kecantikan sebenarnya, malah faktor inilah juga yang perlu diambil kira dalam soal memilih calon isteri.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Apabila Allah mewujudkan dalam jiwa salah seorang daripada kamu seorang wanita, maka lihatlah kepadanya. Sesungguhnya, dengan melihat akan memberi kebebasan kepada kamu berdua untuk berkasih sayang."
Dalam riwayat lain pula, iaitu daripada hadis yang diambil daripada Mughairah bin Su'bah ketika beliau ingin meminang seorang wanita dan dikhabarkannya kepada Rasulullah saw. Maka baginda saw bersabda: "Lihatlah dia! Sesungguhnya, dengan melihat akan memberi kepada kamu berdua kebebasan untuk berkasih sayang." (Riwayat At-Tarmizi, Nasaii dan Ibnu Majah).
Kenyataan hadis di atas, bersesuaian dengan kehendak Islam. Ini kerana Islam menggalakkan seorang lelaki melihat muka dan dua tapak tangan seorang wanita sebelum memilihnya sebagai isteri.
Dengan melihat sendiri barulah boleh dibuat penentuan sama ada berkenan atau sebaliknya.
Wajah memainkan fungsi penting dalam pemilihan calon isteri. Ia boleh merangsangkan hubungan kasih sayang di antara suami dan isteri.
Dengan cara ini, kekesalan pada kemudian hari tiada akan timbul.
Wasalam.
~ aman shah ~
"...man jadda wa jada.."
0 teguran dan kutukan:
Post a Comment