بسم الله الرحمن الرحيم
Maha suci Allah. Tuhan sekalian alam.
Minggu ini, bagaikan sesuatu yang semacam sahaja. Begitu banyak berita yang kurang baik di dengari. Setiap hari, bagaikan ada sahaja berita kurang enak yang aman terima.
Berikut adalah berita-berita yang aman terima sepanjang minggu ini.
Ahad ( 9 Ogos 2009 )
Ketika sedang berprogram bersama dengan krew-krew iLuvislam.com di Wangsa Maju( Dialog Krew ), handphone diletakkan dalam keadaan silent mode, tiba-tiba sahaja ia bergetar. Menandakan ada panggilan masuk diterima. "Siapa la pulak yang telefon ni" Bisik hati aman. Apabila lihat di screen telefon 'My Luvly MuM'. Yang ni WAJIB angkat.
Mak mengkhabarkan berita yang kurang enak didengar. Rumah Mak Yam, jiran aman di kampung terbakar. Habis bahagian ruang tamu terbakar. Mak Yam ini agak rapat dengan aman, sebab, sewaktu kecil, aman kurang berminat ikut mak dan abah kalau ke mana-mana, jika malam, aman akan bermalam di rumah Mak Yam ni la. Bagaikan rumah aman ke-2 di kampung sana. Mak cakap, Mak Yam terkejut, sampai pengsan. Kena masuk hospital kejap, lepas masuk air sebotol dah boleh pulang ke rumah.
Isnin ( 10 Ogos 2009 )
Selepas pulang dari surau Ar-Razi, terasa sangat hati ini hendak berbual-bual dengan mak (padahal baru semalam cakap dengan mak), telefon mak banyak kali, namun masih tidak berjawab. "Mungkin mak dah tidur kot", hati aman menenangkan aman. Baru 5 minit melabuhkan punggung atas sofa, mak telefon kembali.
"Awat cik tepon tadi mak tak angkat?" " Mak pi rumah Mak Lang, ada tahlil. Mak lupa nak habaq, siang tadi Pak Lang Hassan dah tak dak dah" Innalillah... Pak Lang Hassan ni jiran aman sebelah rumah. Beliau sudah sakit agak lama. Baru saat ini di panggil Ilahi.
Selasa ( 11 Ogos 2009 )
Hari ini, aman ada short course. 1 day course, Boeing 737 Differences 300/500 Course. Sampai sahaja di kelas, my Batchmate, Mohd Normustakim cakap, masa on the way datang kelas, ada kemalangan di simpang masuk ke Puteri Subang. Motor berlanggar dengan kereta kelisa. Keadaan penunggang motor itu agak parah.
Selesai sahaja kelas hari ini, aman pulang ke rumah. Apabila masuk sahaja waktu Maghrib, aman ke surau. Dihadapan surau, tersusun lebih kurang 20 van DHL tersusun rapi. Dalam hati, ada apa pula dah ni? Apabila lihat sahaja ke dalam surau, Innalillah, ada satu jenazah yang bakal disembahyangkan. Solat Maghrib malam ini, bagaikan solat Jumaat jumlahnya. Selesai solat Maghrib, ada bacaan yaasin. Rupa-rupanya, orang yang kemalangan pagi tadi tu, adalah isteri kepada Abg Wan. Jemaah surau Ar Razi. Isterinya juga merangkap Ketua Muslimat PAS Seksyen U5. Ramailah pemimpin-pemimpin yang datang malam itu. Selesai solat Isyak, majlis pengkebumian di Tanah Perkuburan Kg Melayu Subang, belakang Petronas Kg Melayu Subang.
Rabu ( 12 Ogos 2009 )
Ustaz Zahir (penasihat iLuvislam.com) terlibat dalam satu kemalangan. Dari berita yang aman terima, kemalangan pada waktu malam. Keadaan ustaz tidaklah merisaukan. Tetapi zaujahnya yang agak parah. Sekarang berada di Hospital Kajang dan bakal dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Semoga ustaz dan isteri cepat sembuh.
Gambar ustaz dan zaujahnya ketika forum 'monyetnya cinta kita' Sabtu lepas
Khamis ( 13 Ogos 2009 )
Teet...teet.. Bunyi SMS masuk ke dalam handphone aman, apabila aman buka, SMS dari Abg Bob. Mesej Abg Bob pada pukul 11.52am sebegini " Us. Asri Ibrahim RABBANI telah meninggal dunia d Hospital pantai....Al-fatihah ". Innalillah. Satu lagi kematian. Berita lanjut tentang kematian beliau di sini. Baru 1 Ogos 2009 yang lepas aman dapat melihat beliau beraksi untuk Konsert Antara Dunia 2009.
'Pergi Takkan Kembali'
Hadirnya Musibah
Dalam segala keadaan apa sekalipun, apa yang lebih penting pada saat kita dilanda pelbagai macam musibah, kesabaran yang tinggi amat dituntut oleh agama. Dan setiap kesabaran itu juga merupakan pintu hidayah bagi hati. Tidak dapat tidak kita perlu memiliki kesabaran itu kerana setiap musibah yang terjadi tidak lepas daripada ketentuan Allah s.w.t. Kita tentu tidak mahu sehingga tiba pada suatu peringkat, akibat ketidaksabaran itu akan mencacatkan keimanan seseorang (kita) terhadap rububiyah Allah.
Salah satu daripada sedemikian banyak faktor yang menyebabkan kegagalan seseorang dalam menjaga dan menpertahankan sikap sabar adalah rasa pesimis dan kekurangan keyakinan terhadap balasan dan janji Allah s.w.t. Abu Talib Al-Makki dalam kitabnya Qutul Qulubmenjelaskan bahawa orang yang paling baik atau terpuji kesabarannya ketika ditimpa musibah adalah mereka yang paling tebal keyakinannya, dan kebanyakan manusia yang gemar atau suka mengeluh dan bersikap berdendam dalam menerima musibah adalah mereka yang tipis keyakinannya. Bagi Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah pula, bencana-bencana yang menimpa manusia merupakan kenikmatan. Terhapusnya dosa dan kesalahan dengan adanya musibah-musibah, juga termasuk dalam kenikmatan yang besar.
Bencana atau musibah yang melanda pada hakikatnya memiliki peranan yang besar dalam mendidik jiwa kita. Ini kerana sudah semestinya jiwa itu perlu dididik meskipun menerusi penerima bencana. Hal demikian itu semata-mata untuk menguatkan hati, keteguhan sikap, terlatih, dan sentiasa waspada terhadap persekitaran.
Pada saat itu seseorang manusia harus segera menyedari bahawa apa yang paling penting ialahiltija, iaitu mencari perlindungan diri kepada Allah s.w.t semata-mata, ketika di mana seluruh tempat bergantung tidak berupaya membantunya untuk menghadapi bencana tersebut. Tidak ada tempat berlindung kecuali berada di bawah naungan-Nya. Tidak ada pertolongan kecuali daripada-Nya. Sehubungan itu, Allah s.w.t berfirman:
”Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya.” (At-Taghabun: 11)
Alqamah, seorang tokoh daripada kalangan tabiin pernah berkata: ”Ia adalah seseorang yang dilanda musibah. Kemudian ia meyakini bahawa musibah itu berasal daripada Allah, sehingga tetap reda dan berserah diri.”
Demikan juga dengan Nabi Yunus, iaitu ketika ia dimasukkan ke dalam mulut ikan yang besar, maka ia memanggil Rabbnya, memohon pertolongan daripada-Nya, sekali gus mengakui kesalahan dirinya.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahawa kami tidak akan mempersempitkannya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: ”Bahawa tidak ada Allah selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.” Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.” (Al-Anbiya: 87)
Mengabaikan tanda-tanda kehadiran Allah menjadikan hati gersang dan kacau, dan ‘mengundang’ jauhnya rahmat Allah dan datangnya bencana. Semoga kita semua terpelihara daripada bencana serta dapat menghayati ayat-ayat Allah, baik yang terhampar mahupun yang tertulis.
“Kami akan memperlihatkan kepada mereka ayat-ayat Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa ia adalah hak/benar.” (Al-Fussilat: 53)
Sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t ialah menjadikan kita atau keluarga sebagai tempat sasaran ujian-Nya. Musibah, memang akan selalu mengekorii umat manusia di dunia ini kerana dunia adalah tempat ujian dan cubaan. Hal demikian ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami ujikan kamu dengan sedikit daripada ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan.”
(Al-Baqarah : 155)
Ini semua bertujuan memperbaiki ketakwaan dan kesabaran hamba-Nya dan akan memilih siapa yang berjaya menerima ujian tersebut dengan penuh kesabaran. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Mereka yang banyak menerima ujian itu ialah para nabi, siddiqin, dan salihin, kemudian mereka yang mengiringi…”
Segala ujian itu seharusnya ditempuh dengan penuh kesabaran kerana ini akan mendekatkan lagi dirinya kepada Allah s.w.t. Ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Bukan bererti orang yang sabar itu akan bergembira apabila ditimpa kesusahan dan ujian tetapi mereka tetap sedih dan dukacita. Namun, mereka tidak akan bertindak di luar batasan agama. Nabi Muhammad s.a.w, contohnya, pada hari kematian anak kesayangan baginda, Ibrahim, tetap bersedih, dan air mata tetap berlinangan, tetapi tidak melakukan sesuatu di luar batas agama melainkan apa yang diredai oleh Tuhannya sahaja. Maka, orang yang memiliki tahap kesabaran yang tinggi telah benar-benar memurnikan tauhid dan mengikhlaskan doa hanya untuk Allah.
Demikianlah contoh keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam menghadapi ujian daripada Allah s.w.t. Justeru itu digalakkan mereka yang ditimpa musibah itu berkata sebagaimana yang dituntut oleh agama, yang bermaksud: “Kami hanya bagi (milik) Allah dan kami tetap kembali menghadap-Nya.”
(Al-Baqarah:156)
Di dalam al-Quran dinyatakan untuk mereka yang berjaya menghadapi ujian itu akan mendapat penghargaan daripada Allah, juga rahmat-Nya dan mereka itu memperoleh petunjuk. Hati mereka sekali-kali tidak akan terlintas atau terbawa-bawa dengan perasaan yang terselit persoalan kenapa Allah memilih diri atau keluarga mereka sebagai tempat ujian-Nya.
Kesabaran yang tinggi amat dituntut di dalam Islam kerana dengan memiliki jiwa yang sedemikianlah umat Islam akan menjadi suatu umat yang teguh peribadi dan kukuh jati diri, tidak gentar akan segala dugaan atau bencana yang menimpa. Yakinlah bahawa ada hikmah di sebalik bencana yang menimpa. Rahmat Allah sentiasa terbentang selagi kita yakin dengan jalan menuju ke arah keredaan-Nya.
Wallahualam..
~ aman shah ~
"...man jadda wa jada..."
40150 Shah Alam, Selangor
2 teguran dan kutukan:
terima kasih aman kerana mengingatkan hakikat ujian dan tarbiah dariNya
benar bencana adalah sebuah ujian dari allah untuk meningkatkan keimanan kita..
salam kenal dari aku orang indonesia
Post a Comment