“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu katakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Besar kemurkaan Allah atas yang kamu katakan (tetapi) tidak kamu kerjakan.”
(Surah As-Shaf: 2-3)
Muqaddimah
Hati yang mati tidak akan dapat menghidupkan hati-hati yang mati. Seorang da’ie hendaklah memiliki peribadi contoh bagi memastikan keberkesan dakwah. Dakwah melalui qudwah hasanah merupakan sunnah yang ditunjukkan oleh baginda Nabi s.a.w. Kejayaan individu atau gerakan dakwah tertakluk kepada perilaku dirinya dan anggota-anggotanya. keberkatan dakwah hanya dicapai sekiranya du’at memiliki ketaqwaan dalam dirinya.
Tulisan ini mengupas serba sedikit permasalah akhlaq yang wujud dalam gerakan dakwah terutama di kalangan pemuda atau remaja dakwah. Saya merasakan idea tentang permasalahan ini perlu dibincangkan kerana mengikut pengamatan saya, krisis akhlaq ini berlaku tanpa sempadan tempat dan merentasi pelbagai jamaah. Ia berlaku di kalangan penggerak muda tidak kira sama ada yang masih baru mahu pun yang sudah lama meletakkan diri di dalam gerakan dakwah. Berikut ialah kes-kes yang pernah saya temui yang membabitkan aktivis dakwah pelbagai jamaah, dari pelbagai tempat dan pelbagai usia.
Mungkin pendedahan ini agak menyedihkan, mengejutkan dan menakutkan banyak pihak terutama Muslimat. Tetapi inilah realiti yang berlaku dan saya amat berharap agar idea tentang permasalah ini tidak terhenti di sini sahaja tetapi turut dibincangkan lagi oleh sahabat-sahabat sekalian dan turut mendapat reaksi golongan yang lebih tua dan arif termasuklah para ustaz. Entri ini hanya menerangkan kes-kes yang berlaku tanpa mengaitkan dengan hujah dan pandangan Al-Quran dan As-Sunnah dan cara mengatasinya disebabkan keterbatasan masa saya sekarang untuk menggunakan komputer. Maklumlah, laptop sendiri masih belum ada.
Latar Belakang Krisis
Krisis akhlaq yang ingin saya utarakan di sini berkaitan gelojak nafsu syahwat di kalangan remaja dakwah zaman ini. Saya yakin kes-kes yang akan saya ketengahkan di sini tidak berlaku di kalangan Muslimat/akhawat dan hanya terfokus kepada Muslimin/ikhwah. Saya juga tidak akan membincangkan masalah ‘couple’ atau cinta anta-anti yang sudahpun kita sedia maklum.
Remaja Islam pada hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran yang sukar untuk di atasi terutama dalam hal pergaulan, permasalahan sosial, masalah seksual yang bertitik-tolak dari Barat dan media massa. Baik remaja ‘biasa’ mahupun remaja dakwah, cabaran ini dihadapi oleh semua.
Di sini saya akan membongkarkan beberapa kes masalah akhlaq dan seksual yang dilakukan oleh remaja hari ini. Ingin saya tegaskan di sini, kes-kes ini sudah berleluasa berlaku di kalangan remaja, mahasiswa dan juga pelajar sekolah. Namun untuk kita sama-sama fikirkan ialah bagaimana ianya turut membabitkan remaja dakwah.
Kes 1: Laman Porno
Dalam era globalisasi dan millennium ini, laman porno merupakan antara punca utama kepada masalah sosial. Lebih-lebih lagi dengan pemilikan komputer peribadi. Saya pernah memasuki bilik beberapa aktivis dakwah di kampus dengan tergesa-gesa. Tanpa sengaja. Sepatutnya beri salam dan ketuk pintu terlebih dahulu. Ada yang tertidur sedang skrin komputer terpapar laman porno. Tidak kurang juga yang terkejut dengan kedatangan sahabatnya. Ada juga kes ter’kantoi’ ketika saya melihat atau menggunakan komputernya melalui fail yang wujud dalam komputernya ketika berurusan tentang kerja, program atau hal akademik. Ada juga kes melalui ‘history’ dalam internet browser. Sahabat, maaf. Saya tak sengaja melihat maksiat tersembunyi anda…
Saya sendiri juga pernah terlayar laman sebegini. Walaupun kita tidak ingin tetapi pop-up dan iklan-iklan yang datang kadang kala di luar kawalan kita. Mungkin. Tetapi bukanlah kita dengan sengaja melayarinya atau menyimpan failnya.
Saya sendiri pernah membuat kajian-kajian mengenai laman 'kegemaran' rakyat Malaysia. Melalui lama web alexa.com kita boleh memantau 100 top sites in Malaysia mahupun negara-negara lainnya. Dalam 100 itu, terdapat lebih dari 5 laman web pornografi, yang selebihnya hanyalah hiburan! Laman ilmiah? Entah berapa sahaja. Laman berita agak banyak juga..
Kes 2: Video lucah
Dalam tahun 1995, satu kajian melaporkan lebih daripada 90% pelajar di peringkat sekolah menengah pernah menonton video lucah. Walaupun kajian ini mungkin boleh dipertikaikan dari sudut responden yang disasarkan berdasarkan faktor tempat, bandar atau luar bandar. Tetapi ini adalah satu kajian seawal tahun 1995. Bagaimana dengan sekarang? Jenayah seks kini bukan sahaja di bandar, bahkan meluas di merata ceruk kampung dan felda dengan dahsyatnya. Jumlah itu pastinya bertambah dengan kepesatan perkembangan teknologi masa kini. Hari ini movie bukan sahaja boleh dilihat melalui VCD dan DVD player, bahkan melalui komputer, telefon bimbit dan pelbagai peralatan elektronik yang lain.
Justeru, saya tidak terkejut jika ada di kalangan aktivis mahasiswa di kampus yang terjebak dalam masalah sebegini.
Lebih parah lagi, Barat kini banyak mengeluarkan filem yang kononnya berunsur humor, seram dan thriller tetapi turut diselitkan dengan adegan-adegan lucah seperti siri “Scary Movie” dan sebagainya. Trend filem sebegini cukup digemari oleh remaja umumnya hari ini.
Saya ada mendengar perbualan yang dituturi oleh aktivis dakwah sesama mereka tentang filem tertentu yang saya maklum bahawa ia turut mengandungi unsur seks. Katanya cerita tersebut mengandungi banyak manfaat tetapi pada saya adalah tidak wajar untuk kita tonton. Biarlah orang lain yang mengkajinya yang lebih layak dan dah berkahwin.
Dan dengan kepesatan teknologi sekarang, video-video lucah ini senang sahaja diperolehi. Di tempat kerja sahaja, rakan-rakan tanpa segan silu mem'forward'kan cerita-cerita lucah ke handphone dengan teknologi bluetooth kepada rakan-rakan yang lain. Yang lebih parah, dalam akhbar harian Metro, penah dikeluarkan artikel pelajar sekolah berkongsi cerita-cerita lucah dengan teknologi ini. Jangan salahkan teknologi, tetapi pandanglah ianya sebagai satu lagi masalah yang patut difikirkan oleh para da'ie.
Kes 3: Animasi
Filem animasi kini bukan lagi sesuai untuk kanak-kanak. Ia banyak menyelitkan unsur-unsur lucah dengan perbuatan dan pakaian karektor-karektornya. Seperti contoh watak si cilik Sin Chan! Watak comel tetapi penuh dengan kelucahan bercakap. Terdapat juga filem animasi yang berunsur lucah sepenuhnya atau disebut sebagai hentai turut dimiliki oleh mahasiswa di Malaysia.
Namun begitu, masih ada juga animasi yang berunsur pengajaran. Seperti contoh, siapa tidak kenal icon animasi sekarang? bermoto kan "ya, betul..betul...betul"..Watak si comel upin dan ipin. Bagaimana mereka mengajar anak-anak untuk belajar berpuasa. Alhamdulillah..Sama-sama memajukan animasi begini.
SAY NO TO HENTAI!
Kes 3: Chat
Kadang kala terdapat remaja dakwah yang tidak dapat mengawal kehendak nafsunya, lalu dilepaskan kepada orang yang tidak dikenalinya atau dikenalinya tetapi di belakang pengetahuan sahabat-sahabatnya yang lain.
Saya pernah mendapat aduan daripada seorang pelajar perempuan tentang salah laku seks yang dilakukan oleh seorang aktivis dakwah! Seorang naqib yang sering bertutur soal ikhtilat dan menasihati anak-anak usrahnya supaya tidak bercouple. Pada masa yang sama, saya sendiri maklum bahawa dia mempunyai couple dan sering melihatnya keluar berdua-duaan di belakang sahabat-sahabat dan anak-anak usrahnya menyebabkan orang-orang di sekelilingnya yang tidak terlibat dalam arena dakwah tidak menghormatinya kerana sikapnya ini dan menganggapnya bersifat kepura-puraan. Saya cuba untuk bersangka baik. Mungkin ini adalah fitnah yang dilontarkan oleh orang-orang yang dengki kepadanya. Tetapi, tidak mustahil kerana jika tiada angin yang bertiup manakan pokok bergoyang. Saya dimaklumkan bahawa dia pernah menghantar mesej melalui chat messager berbaur lucah dan menghantar gambar lucah miliknya sendiri kepada aweknya menyebabkan rakan-rakan aweknya yang tahu membencinya. Wal’iyazabillah min zalik. Sekiranya ini fitnah, kita sama-sama memohon agar Allah Ta’ala melindunginya dari fitnah tersebut.
Kes 4: SMS Lucah
SMS berbaur lucah ini, telah lama menular dalam mahasiswa kita. Baik yang mengikuti dakwah dan tarbiah mahupun yang biasa-biasa. Kenapa ini berlaku? Apabila nafsu menguasai kepala. Saya pernah terbaca satu SMS dari handphone rakan saya, dengan tanpa rasa segan silu menanyakan soalan-soalan yang bersifat peribada kepada 'gelipren'nya. Sampaikan warna pakaian dalaman yang sedang dipakai juga ditanyanya. Na'uzubillah..
Kalau hilang rasa malu dalam diri seseorang itu, hatinya bagaikan mati. Jikalau hatinya sudah mati, bagaimanakah kerja-kerja dakwah dapat diteruskan? Bagaimana hendak mengajar hati-hati yang ketandusan agama itu jika hatinya sendiri sudah mati kegersangan oleh ransangan nafsu syahwat sendiri? Wallahua’lam.
Punca Krisis Akhlaq
Seorang da’ie itu tidak akan melakukan maksiat andainya konsep taqwa itu tersemat kukuh dalam jiwanya hingga terpancar dalam tindak tanduknya. Sifat taqwa akan meletakkan seseorang supaya takut untuk mengerjakan maksiat walaupun di belakang rakan-rakan atau ketika bersendirian kerana dia yakin bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui segala tingkah lakunya. Ini bermakna krisis akhlaq ini berpunca daripada kurangnya penekanan kepada sifat taqwa dalam dirinya atau dalam tarbiyyah yang diikutinya. Keikhlasan dalam beramal akan mendorong seseorang untuk mengerjakan ibadah dan menjauhi mungkar walaupun ketika bersendirian.
Sesetengah kes yang berlaku disebabkan oleh da’ie yang masih belum sempurna tarbiyyahnya. Masih ikut-mengikut walhal tidak memahaminya. Ia juga berlaku disebabkan oleh tabiat silam yang sukar dibuang. Kerana itulah, Islam MELARANG mendekati zina. Bukan berzina. Tabiat ketagihan seks siber cukup hebat melanda sebahagian besar remaja hari ini. Jika dahulu dilaporkan 90% remaja pernah menonton video lucah dan meningkat seiring perkembangan sais dan teknologi sehingga benda-benda ini mudah dicapai dan dimiliki, maka hari ini tidak mustahil ada di kalangan mereka yang terlibat dengan dakwah berasal dari golongan ini yang sudah insaf dan sedar, dan ada sebahagiannya yang masih gagal meninggalkan tabiat lama. Di sini saya tidak membicarakan langsung kes zina yang dilakukan oleh aktivis dakwah dan saya yakin selagi mana seseorang itu istiqamah di dalam perjuangan dan suasana beragama, mengikuti tarbiyyah, nescaya dia akan terhindar daripada berzina.
Dari satu sudut, saya merasakan bahawa perkara ini berlaku kerana sikap malu-malu dalam pendidikan agama untuk berbicara dan mendedahkan kepada remaja tentang bahayanya gejala seksual yang begitu buas hari ini. Ustaz dan ustazah malu untuk mengajar tentang ancaman Allah tentang penzinaan dan perbuatan mendekati zina. Malu untuk mendedahkan masalah-masalah yang berlaku, kes-kes yang berlaku supaya mereka mengambil iktibar. Jarang berlaku, guru mengajar bab munakahat, bahaya zina, budaya couple, dan masalah ikhtilat secara telus dengan murid-muridnya. Sering kali berlaku pengajaran bab sebegini secara cepat, tidak jelas dan cakap ‘berlapik’ atau menggunakan bahasa kiasan menyebabkan mesej yang disampaikan agak samar.
Satu faktor yang lebih utama ialah perkembangan sains dan teknologi itu sendiri yang akhirnya disalahgunakan. Maklumat internet tidak dapat ditapis. Dengan adanya peralatan-peralatan elektronik yang dimiliki secara peribadi seperti laptop, handset canggih dan sebagainya menyebabkan sukar mengawal kehendak nafsu lalu terjebak dengan maksiat yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi.
Akhir sekali, saya berpendapat masalah ini dapat diselesaikan melalui penekanan aspek tazkiyyatunnafs dalam institusi usrah. Kadang kala remaja dakwah sibuk dengan pendedahan uslub dakwah, strategi siasah, buku-buku fikrah, haraki dan gerakanmengikut ikhwan sedangkan mereka terlupa bahawa aspek yang diterapkan daripada Ikhwanul Muslimin hanyalah dalam soal Tarbiyyah Harakiyyah. Penekanan kepada aspek-aspek tertentu sahaja dalam tarbiyyah akan menyebabkan wujudnya kelompangan dalam aspek tarbiyyah yang lain. Ingin saya tekankan di sini bahawa perkara ini mungkin tidak akan berlaku jika seseorang itu adalah da’ie yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan dan menjaga hubungannya dengan Allah. Justeru, mungkin entri ini tidak sesuai dikaitkan dengan mereka. Tetapi inilah hasil pengamatan dan pengalaman saya mengenali ramai aktivis dakwah dari pelbagai kampus dan pelbagai jamaah.
Maka di sinilah pentingnya ilmu aqidah yang mantap dan ilmu tasawuf dalam memimpin seseorang individu Muslim dalam mengemudi bahtera perjuangan mereka. Janganlah kita asyik mengajak orang kepada jamaah kita, kepada kumpulan-kumpulan dakwah, mengajak mereka turut berdakwah sedangkan kita masih dibelenggu maksiat. Sama-samalah kita merenungi firman Allah dalam surah As-Shaf, ayat kedua yang saya tuliskan di pangkal risalah ini. saya sangat mengharap agar risalah ini tidak berakhir di sini sahaja tetapi turut direspon oleh orang-orang yang lebih arif.
Wallahua’lam. Mohon maaf andai terkasar bahasa. Semoga Allah meredhai usaha ini. Wassalam.
Sekadar perkongsian bersama.
~ aman shah ~
40150, Shah Alam, Selangor
"...man jadda wa jada..."
0 teguran dan kutukan:
Post a Comment