Sifat - Sifat Istimewa Islam (Samb..)

Sambungan dari Sifat-Sifat Istimewa Islam

SIFAT KHASAIS ISLAM

Disebalik pengiktirafan Allah swt bahawa Islam adalah agama yang teragung, maka sifat –sifat yang ada pada Islam perlulah menepati ciri kesempurnaan agama anutan manusia yang benar dan menyeluruh. Ciri-ciri Istimewa itu disebut oleh Dr Karim Zaidan didalam bukunya ‘Usul ad-dakwah’. Sifat-sifat istimewa Islam itu ialah :

clip_image001

 

Sifat Pertama : Rabbaniyyah ( ربني)

Ia membawa maksud Islam adalah berdasarkan manhaj atau sistem dari Tuhan iaitu Allah dan bukannya ciptaan manusia yakni bersifat ketuhanan. Ia juga bermaksud Islam membawa tujuan penganutnya hanya kepada Tuhan iaitu Allah semata-mata. Sifat ini melepaskan kita dari perhambaan sesama makhluk yang amat Islam perangi. Mesej Islam adalah untuk menegakkan ubudiyah (perhambaan) hanya kepada Allah. Segala kehidupan manusia dikembalikan kepada Allah sebagai tuhan manusia , seperti ikrar harian umat Islam didalam solat :

قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Katakanlah : Sesungguhnya solatku,ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah ,Tuhan semesta alam (Surah Al-An am, ayat 162)

Sifat Rabbaniyyah ini menjelaskan ubudiyyah manusia kepada Allah, Rabb dan Ilah kepada manusia. Rabb (رب (iaitu tuhan yang mentadbir , menguasai dan mengawal semesta alam manakala Ilah ( اله) ialah tuhan yang layak di ta’budkan (disembah). Inilah penekanan tauhid rubbubiyyah dan tauhid uluhiyyah yang perlu difahami oleh hamba Allah swt.

 

Sifat kedua : Syumuliyyah ( شمولية )

Ia bererti Islam membawa ajaran yang menyeluruh sehingga menyentuh persoalan sekecil kecil sehingga ke sebesar-besar perkara sama ada adab membuang air,rumahtangga,ekonomi, pentadbiran, dan sistem pembangunan negara. Namun ramai umat Islam tidak mahu mendalami kitab-kitab ilmuan Islam dan meneliti sistem Islam walaupun kita dari aliran sains atau bidang profesional yang lain.

 

Sifat ketiga : ‘Alamiyyah ( علمية )

Ini bermaksud Islam sesuai untuk sarwajagat dan seluruh negara dan bangsa. Islam tidak pernah menetapkan makanan dan pakaian wajib mengikut budaya Arab sebaliknya hanya menerapkan sunnah Nabi untuk diikuti sahaja. Walaupun zaman semakin canggih, namun sistem Islam tetap boleh disesuaikan.

Tujuan Syari’at Islam ( Maqasid Syar’iyyah ) adalah;

1. Dharuriat : iaitu Islam menitikberatkan dalam menjaga perkara penting (dharuriat) seperti menjaga akal, agama, nyawa, keturunan dan harta.

2. Hajjiyyat : perkara yang diingini oleh manusia seperti makanan dan pakaian untuk hidup.

3. Tahsiniyyat: perkara yang diperlukan untuk meningkatkan taraf dan keselesaan hidup seperti kenderaan.

 

Sifat keempat : Waqi’iyyah ( وقعية )

Islam sesuai diamalkan di mana jua sekalipun. Contohnya hukum menutup aurat diwajibkan tetapi boleh mengikut fesyen dan adat pakaian sesuatu kaum seperti wanita melayu menutup aurat dengan berbaju kurung yang menutup tubuhnya, bertudung dan bersetokin. Manakala lelaki memakai kain pelekat walaupun tiada pada zaman nabi.

 

Sifat kelima : Inqilabiyyah ( انقلبية )

Ia bermaksud menegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliyyah. Ini bermakna Islam tidak boleh berkompromi dengan jahiliyyah atau kufur. Sebagai contoh, walaupun Rasulullah boleh menerima tawaran sebagai raja dengan syarat meninggalkan dakwah, baginda menolak dan berusaha menghapuskan kemungkaran itu terlebih dahulu. Namun dalam keadaan tertentu, tidak perlu keruntuhan kufur atau jahiiyyah terlebih dahulu sebelum menegakkan Islam, contohnya suasana sekeliling yang diselubungi kemungkaran, perlu diterapkan nilai-nilai Islam walaupun bukan di bawah pemerintahan Islam.Rujuk Surah Al-Kafirun ayat1-6

(1) قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!

(2) لا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ

"Aku tidak akan menyembah apa Yang kamu sembah.

(3) وَلا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ

"Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) Yang Aku sembah.

(4) وَلا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ

"Dan Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.

(5) وَلا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ

"Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara Aku beribadat.

(6) لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

"Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku".

Sifat keenam : Thabat wa Murunnah ( ثابت ومرونة )

Islam adalah tetap (thabat) dari segi hukum dan prinsip, tetapi anjal atau fleksibel(murunnah) dari segi perlaksanaan supaya ajarannya mudah diamalkan secara berterusan. Misalnya, umat Islam wajib mendirikan solat tetapi dalam keadaan sakit, perjalanan jauh, perang dan sebagainya, perlaksanaan solat diberi rukhsoh(keringanan) yang Allah berikan. Contoh lain adalah dari segi batasan aurat. Allah telah menetapkan aurat perempuan adalah seluruh badan kecuali muka dan telapak tangan namun Allah tidak terlalu membebankan kaum hawa ini untuk berada di kalangan muhrimnya dengan firmanNya:

 

Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka (Surah An-nur, ayat 31)

 

Kesinambungan sifat islam itulah yang menjadikan Islam itu lengkap. Islam bersifat ketuhanan, sempurna, menyeluruh, sesuai sepanjang masa, tertegak atas keruntuhan jahiliah dan pelaksanaan yang pelbagai dengan hukum yang tetap. Benarlah firman Allah swt :

(Surah Al-Maidah,ayat 3)

 الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

Bagaimanakah nasib golongan yang menolak agama Islam ? Allah swt berfirman :

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Barangsiapa mencari agama selain Islam, maka sesekali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya dan dia diakhirat termasuk orang orang yang rugi ( al-Imran :85)

 

Bagaimana pula ganjaran dan janji Allah swt kepada golongan yang menerima Islam dan menjadikannya sebagai cara hidup? Inilah janjiNya.

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلائِكَةُ أَلا تَخَافُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ

Sesungguhnya orang orang yang berkata : Tuhan kami adalah Allah , kemudian mereka tetap lurus , nescaya atas mereka malaikat ( yang berkata) bahawa janganlah kamu takut dan janganlah kamu berdukacita dan bergembiralah dengan syurga yang pernah dijanjikan kepada kamu. ( Fussilat : 30)

0 teguran dan kutukan: