1. Seseorang yang masuk kerja pukul 8.35 am sedangkan waktu mula kerja adalah 8.30 am sudah dikira lewat datang kerja TETAPI jika seseorang itu sembahyang Zohor pukul 2.00 pm atau 2.30 pm masih dikira awal waktu mengikut tafsiran umum sedangkan masuknya waktu Zohor di Semenanjung Malaysia adalah sekitar 1 - 1.30 pm. Bukankah ini salah faham namanya? Tidak terasa lewatkah?
2. Kita mengeji dan mengutuk Amerika terutamanya di saat perang ini TETAPI ramai daripada kita tidak boleh tinggal rokok ciptaan mereka, tinggalkan barangan keluaran mereka, makanan segera ciptaan mereka, memuja penyanyi mereka, menggilai dan membanggakan artis Hollywood dan ada antara kita menjadi peminat dan pembeli setia filem-filem Amerika yang sarat dengan propaganda terutamanya filem-filem aksi dan perang. Di satu sudut kita menentang dan di satu sudut yang lain kita penyokong dan pendokong mereka. Adakah ini maknanya benci tapi sayang? Mulut kata lain, tetapi hati kata lain?
3. Kalau ada pelancaran skim-skim amanah saham maka berduyun-duyunlah orang pergi, melabur untuk masa depan katanya TETAPI bila ada pelancaran Tabung Derma (boleh la dikira saham Akhirat) untuk membantu manusia yang memerlukan, nak mengumpukan RM1 juta pun payah dari rakyat Malaysia yang bilangannya lebih dari 22 juta orang ini malah ada yang ambil masa berbulan bulan walaupun mendapat publisiti meluas melalui media massa. Mana yang lebih kita cinta? Amanah Saham untuk masa depan di dunia atau Amanah Saham untuk masa depan di akhirat?
4. Kita sangat sensitif dan terharu bila mendengar atau melihat ibu bapa yang mendera fizikal anak-anak kecil dan membuang bayi merata-rata tempat seperti sampah TETAPI kita jarang sensitif dan terharu bila ramai ibu bapa yang mendera anak-anak secara maknawinya dengan tidak mendidik anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah (mengenalkannya Allah, mengajar sembahyang, mendidik anak menjaga aurat dan kehormatan dirinya dan sebagainya) agar tidak didera oleh malaikat di dalam kubur dan terseksa di Neraka. Bukankah penderaan bentuk ini lebih meluas di serata dunia? Bukankah ini satu perbuatan buang anak juga iaitu buang anak ke dalam api neraka? Mana lebih hina, buang anak dalam tong sampah atau buang anak dalam api neraka?
5. Kita selalunya akan mudah ucapkan terima kasih pada sesiapa yang membantu kita dan akan kenangkan budinya sampai bila-bila TETAPI dengan Allah yang memberikan kita nyawa dan segala nikmat yang tak terhitung banyaknya sehingga tak termampu untuk dibalas, setiap detik dan setiap masa kita jarang (mungkin juga tak pernah) terhutang budi dan berterima kasih kepadaNya dengan cara yang dituntutNya. Payah benarkah?
6. Kita pasti berasa malu dan terhina bila ada orang yang mendedahkan keaiban kita TETAPI kita tidak sikit pun rasa malu dengan Allah yang sudah sedia tahu kesalahan kita zahir dan batin, kecil dan besar. Itu tidak dikira lagi dengan yang sanggup membuka aibnya sendiri. Bermegah-megah dengan dosa yang dilakukan tanpa rasa penyesalan.
7. Kita selalu rasa dia salah, dia jahat, dia tak betul, dia menyeleweng dan sebagainya TETAPI kita jarang sekali rasa aku jahat, aku berdosa, aku tidak betul, aku bersalah dan sebagainya sedangkan sikap-sikap ini sangat dianjurkan.
Pesanan Aman :
- Islam ini agama untuk manusia berfikir.
- Sentiasala membasahkan lidah kita dengan berzikir kepada Allah dan memberi peringatan kepada sahabat handai, tanpa ada rasa memilih sama ada dia mndengarnya atau mengetepikannya. Ingatlah Rasulullah pernah bersabda :
"Semoga Allah memberi rahmat kepada seseorang yang mendengarkan sesuatu perkara dari kami, lalu dia menyampaikannya sebagaimana apa yang dia dengar, barangkali orang yang disampaikan lebih kuat ingatannya daripada orang yang mendengar" (Riwayat Ahmad At-Turmidzi, Ibnu Majah & Al-Humaidi dr Ibnu Mas'ud r.a.)
0 teguran dan kutukan:
Post a Comment